Akmal Saleh Sokong Reformasi Pendidikan Anwar

Oleh: Tyah Helmi

PETALING JAYA: Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Akmal Saleh menyatakan sokongan terhadap langkah berani Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mewajibkan semua sistem pendidikan termasuk Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) mengambil ujian Bahasa Melayu dan Sejarah bermula tahun ini.

Menurut Akmal, langkah tersebut bukan sahaja memperkukuh kedudukan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, malah turut mengangkat sejarah sebagai asas penting dalam pembentukan jati diri pelajar.

“Saya amat hormat dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim apabila beliau mewajibkan silibus Bahasa Melayu dan sejarah kepada seluruh sistem pendidikan negara termasuk UEC.

“Ini langkah yang sangat berani, langkah yang sangat baik,” katanya dalam satu video di laman rasmi Facebooknya pada Selasa.

Akmal bagaimanapun menegaskan terdapat isu besar yang perlu diberi perhatian segera iaitu kekurangan guru dan fasiliti pendidikan.

Katanya, masalah tersebut boleh menjejaskan keberkesanan pelaksanaan reformasi yang diumumkan.

“Ada beberapa langkah dan saya rasa ada beberapa langkah yang saya sangat setuju dan ada beberapa langkah yang saya rasa saya tidak setuju dan perlu dibahaskan dan juga perlu diteliti,” katanya.

Beliau memberi contoh pengumuman Perdana Menteri yang membenarkan kanak-kanak berumur enam tahun memasuki darjah satu secara sukarela.

“Walaupun bersifat sukarela, saya percaya akan ada ibu bapa yang menghantar anak mereka.

“Ini akan menyebabkan pertambahan bilangan pelajar, sedangkan masalah guru dan fasiliti masih belum diselesaikan,” katanya.

Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, semua sistem pendidikan termasuk Sekolah Antarabangsa, Sekolah Agama Rakyat dan sekolah aliran Cina diwajibkan mengambil ujian Bahasa Melayu dan Sejarah.

Beliau berkata, dengan pelaksanaan syarat tersebut, isu kontroversi berkaitan UEC tidak lagi timbul sekiranya sekolah aliran Cina menerima ketetapan kerajaan.

Selain itu, beliau turut mengumumkan bahawa bermula tahun depan, pendidikan prasekolah akan bermula pada usia lima tahun, manakala murid tahun satu pula boleh memasuki sekolah pada usia enam tahun.

“Maknanya mulai tahun depan, (biarpun) kita belum bersedia mewajibkan kerana mungkin ada ibu bapa yang rasa anak-anaknya belum bersedia, (maka) kita tetapkan masih boleh masuk darjah satu (pada usia) tujuh tahun.

“Tetapi kita galakkan ibu bapa yang bersedia dari sekarang, supaya anak-anak umur lima tahun masuk pra-sekolah.

“Pra-sekolah sekarang ini kita beri tumpuan, seluruh sistem pra-sekolah itu kita sudah minta Kementerian Pendidikan (KPM) ambil alih dan selaraskan,” katanya.

Anda Mungkin Berminat