AKPS Gagal Cubaan Kemasukan Keluarga Afghanistan Guna Visa Palsu

PETALING JAYA: Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) berjaya menggagalkan cubaan satu keluarga warga Afghanistan untuk memasuki negara dengan menggunakan visa palsu di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Dalam kenyataan media, hari ini, AKPS memaklumkan bahawa keluarga terbabit merupakan antara 132 warga asing yang diperiksa dalam operasi pemantauan dan saringan dokumen oleh Unit Pemantau KLIA Terminal 1.

“Empat individu terdiri daripada seorang lelaki dan tiga wanita dewasa telah dikesan berlegar-legar tanpa hala tuju di kawasan terminal KLIA juga mencetuskan kecurigaan Pasukan Unit Pemantau.

“Siasatan awal mendapati kesemua individu tiba di Malaysia pada 24 Julai 2025 pukul 9.20 malam melalui penerbangan EK342 yang dikendalikan oleh Emirates Airlines,” katanya.

AKPS berkata, kesemua mereka dikenal pasti sebagai penumpang basi iaitu penumpang yang gagal melaporkan diri di kaunter pemeriksaan imigresen dalam tempoh yang ditetapkan.

Difahamkan, keluarga tersebut telah berada di kawasan terminal selama empat hari tanpa melalui proses imigresen yang sepatutnya.

“Hasil semakan ke atas dokumen perjalanan mendapati kesemua visa milik mereka adalah palsu,” kata kenyataan itu.

Menurut AKPS, siasatan lanjut turut mendedahkan mereka tidak pernah menjejakkan kaki ke Uzbekistan seperti didakwa sebagai destinasi transit.

“Dalam siasatan lanjut, kesemua mereka mengaku tidak pernah menjejakkan kaki ke Uzbekistan yang kononnya sebagai transit, visa palsu tersebut diperolehi melalui seorang agen dengan bayaran sebanyak RM25,386.00,” kata kenyataan itu lagi.

Susulan itu, AKPS mengambil tindakan segera dengan mengeluarkan arahan ‘Not To Land’ (NTL) dan menetapkan tarikh penghantaran pulang keluarga berkenaan ke negara asal pada 30 Julai 2025 melalui Emirates Airlines.

Anda Mungkin Berminat