SEPANG: Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) menggagalkan cubaan masuk 45 warga asing di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) selepas mereka tidak memenuhi syarat kemasukan ke negara ini.
Menurut kenyataan AKPS, hasil pemeriksaan mendapati seramai 36 warga Bangladesh dan sembilan lelaki warga Pakistan tidak memenuhi syarat yang ditetapkan untuk memasuki negara ini.
“Operasi selama tiga jam bermula pada jam 9 pagi itu tertumpu di balai ketibaan antarabangsa dan melibatkan pemeriksaan ke atas 115 warga asing.
“Kesemua mereka telah dibawa ke pejabat unit pemantauan untuk siasatan lanjut sebelum pihak berkuasa memutuskan mereka tidak dibenarkan mendarat di Malaysia,” kata AKPS pada Rabu.
AKPS memaklumkan operasi itu bertujuan memastikan pematuhan terhadap Arahan Tetap Ketua Pengarah Imigresen (ATKPI), Arahan Pentadbiran, serta peraturan-peraturan semasa.
Tambahnya, sepanjang operasi dijalankan, keadaan di KLIA terkawal tanpa sebarang insiden yang tidak diingini.
AKPS menegaskan bahawa mereka akan terus komited dalam memastikan kawalan keselamatan di KLIA serta pematuhan terhadap peraturan imigresen sentiasa diperketatkan bagi mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini.
Baca juga:








