SEPANG: Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) berjaya merampas satu konsainan benih tembikai bernilai lebih RM141,000 yang disyaki mengemukakan maklumat mengelirukan pada Permit Import MAQIS, dalam satu pemeriksaan di Free Commercial Zone (FCZ), KLIA Kargo, semalam.
Rampasan itu dibuat hasil pemeriksaan ke atas sebuah konsainan yang didapati mengandungi komoditi produk pertanian benih tembikai dengan butiran pengimportan yang tidak selaras dengan maklumat yang dikemukakan dalam permit.
Menurut AKPS, konsainan berkenaan dipercayai diimport dari Taiwan oleh sebuah syarikat tempatan.
“Hasil rampasan melibatkan sebanyak 49.50 kilogram benih tembikai dengan nilai anggaran keseluruhan berjumlah RM141,143.15.
“Kesemua barangan berkenaan telah dirampas bagi tujuan siasatan dan tindakan lanjut,” menurut kenyataan AKPS pada Khamis.
Kes disiasat di bawah Seksyen 13, Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta 728) kerana disyaki mengemukakan maklumat yang mengelirukan berkaitan pengimportan.
Baca juga:








