SEPANG: Cubaan membawa masuk susu tepung ke negara ini melalui KLIA Cargo gagal apabila Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) KLIA berjaya mengesan permit import yang mencurigakan dalam satu pemeriksaan rutin.
Dalam insiden yang berlaku sekitar pukul 10.25 pagi pada 19 Januari, sepasukan pegawai dari Bahagian Pemeriksaan Barangan Kargo KLIA telah menjalankan semakan ke atas satu konsainan di Zon Perdagangan Bebas (FCZ) KLIA.
Nilai rampasan dianggarkan sebanyak RM831.23 dan kes kini disiasat di bawah Seksyen 13, Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta 728) kerana mengemukakan dokumen import yang tidak jelas.
“Rampasan tersebut dibuat pada 19 Januari 2026 sekitar jam 10.25 pagi hasil semakan ke atas satu konsainan yang didapati telah mengemukakan Permit Import MAQIS yang mengelirukan.
“Sekali gus menimbulkan keraguan terhadap pematuhan keperluan pengimportan yang ditetapkan,” menurut kenyataan AKPS.
Kesemua barangan telah ditahan mengikut prosedur siasatan lanjut, dan AKPS KLIA menegaskan komitmen mereka untuk terus memperkukuh kawalan sempadan negara.
“AKPS KLIA akan terus memperkukuhkan penguatkuasaan dan pemantauan di pintu masuk negara bagi memastikan semua pengimport mematuhi sepenuhnya peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa demi menjamin keselamatan serta kepentingan negara,” katanya.








