AKPS Tahan 9 Kontena Sisa Elektronik di Pelabuhan Klang Barat

SHAH ALAM: Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) merampas sisa elektronik seberat 201,303 kilogram di Pelabuhan Klang Barat pada Jumaat.

Rampasan itu melibatkan barangan terpakai seperti unit pemprosesan pusat (CPU), pencetak dan mesin fotostat, hasil pemeriksaan ke atas 10 kontena di tapak pemeriksaan kontena CFS 4, kira-kira 10.45 pagi.

Komander AKPS Pelabuhan Klang, Datuk Nik Ezanee Mohd Faisal, berkata sembilan daripada kontena berkenaan yang diimport dari Amerika Syarikat (AS) ditahan kerana disyaki membawa barangan larangan.

“Daripada jumlah itu, tujuh kontena tidak diisytiharkan secara sah untuk dibawa masuk ke Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan, seperti dipetik Harian Metro.

Menurutnya, pemeriksaan lanjut mendapati satu kontena mengandungi CPU terpakai, tiga kontena pencetak terpakai, satu kontena mesin fotostat terpakai serta empat kontena besi buruk.

Beliau berkata, semua barangan tersebut dikategorikan sebagai sisa terjadual yang dilarang diimport mengikut Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.

Operasi pemeriksaan itu turut melibatkan kerjasama SIRIM, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Lembaga Pelabuhan Klang dan Jabatan Alam Sekitar (JAS) Selangor.

Katanya, kontena yang mengandungi sisa elektronik berkenaan akan ditempatkan di kawasan selamat sementara menunggu arahan lanjut daripada JAS Selangor dan JAS pusat bagi tujuan penghantaran semula ke negara asal.

Tambahnya, AKPS akan terus mempergiat pemeriksaan terhadap kontena dagangan yang disyaki membawa sisa terlarang bagi memperkukuh kawalan keselamatan di pintu masuk negara.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat