AKPS tidak kompromi isu ‘Phantom Travel’ di KLIA

PETALING JAYA: Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) tidak akan berkompromi atau melindungi mana-mana pegawai yang melakukan pelanggaran integriti.

Dalam satu kenyataan hari ini, AKPS menegaskan perbuatan yang mencemarkan nama baik dan imej jabatan tidak boleh diterima.

“Tindakan dan hukuman akan diambil berlandaskan peruntukan undang-undang sedia ada termasuk tindakan buang kerja jika pegawai yang melakukan kesalahan terbukti bersalah,” kata kenyataan tersebut.

Hal itu susulan laporan satu portal berita berkenaan sindiket ‘Phantom Travel’ di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) baru-baru ini.

Justeru AKPS telah menjalankan siasatan lanjut berhubung dakwaan penglibatan pegawai bersekongkol dengan sindiket iaitu tidak merekod pergerakan pelawat yang masuk di pintu masuk negara mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP).

Ia dengan dakwaan mengenakan kadar bayaran tertentu bagi mengelak dari dikesan oleh pihak majikan pelawat berkenaan.

“Agensi ini sentiasa bekerjasama rapat dengan Kementerian Dalam Negeri dan Jabatan
Imigresen Malaysia dalam membuat penambahbaikan pemeriksaan pelawat di Pintu-pintu
Masuk Negara terutama di KLIA.

“Dengan adanya penggunaan autogate sepenuhnya bagi pelepasan keluar, pembangunan NIISe dan penggunaan teknologi AI, AKPS percaya isu counter setting, flying passport dan phantom travel yang melibatkan pegawai dapat dikurangkan dan dihapuskan,” katanya.

AKPS turut mengalu-alukan orang awam untuk melaporkan salah laku integriti Pegawai AKPS
melalui e-mel [email protected] atau hadir sendiri ke Agensi Kawalan dan
Perlindungan Sempadan Malaysia, Unit Integriti, Aras 5, Setia Perkasa 7, Kompleks
Setia Perkasa, Putrajaya.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat