Oleh: Hanim Nadia
PETALING JAYA: Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852) akan berkuat kuasa bermula 1 Oktober 2024.
Kementerian Kesihatan (KKM) dalam satu hantaran ringkas di media sosial berkata, akta ini merangkumi peraturan pendaftaran, penjualan, pembungkusan, pelabelan, dan larangan merokok di tempat awam.
Malah, peraturan dan perintah yang bakal dikuatkuasakan ini termasuk rokok elektronik.
Pada Mei lalu, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, kementerian akan menguatkuasakan sepenuhnya Akta tersebut pada bulan Jun untuk menangani peningkatan penggunaan rokok elektronik dalam kalangan golongan muda.
Kementerian sebelum ini menerima kritikan kerana tanpa penguatkuasaan Akta 852, peraturan untuk mengharamkan penjualan vape kepada kanak-kanak tidak dapat dikuatkuasakan.
Ini berlaku selepas perintah untuk mengeluarkan nikotin yang digunakan dalam vape dan rokok elektronik daripada senarai bahan terhad di bawah Akta Racun.