PETALING JAYA: Kerajaan memberi jaminan bahawa keselamatan rakyat, perlindungan alam sekitar dan kepentingan negara akan lebih terpelihara menerusi Rang Undang-Undang (RUU) Perlesenan Tenaga Atom (Pindaan) 2025 yang telah diluluskan di Dewan Rakyat pada Isnin.
RUU tersebut meminda Akta Perlesenan Tenaga Atom 1984 [Akta 304] dengan memperkukuh kawal selia aktiviti tenaga atom melalui pendekatan yang lebih menyeluruh, moden dan sejajar dengan piawaian antarabangsa.
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang berkata, pindaan itu bukan sahaja menambah baik aspek pengawalseliaan, malah memberi penekanan khusus kepada kesejahteraan rakyat dan kelestarian alam sekitar.
“Kerajaan beriltizam memastikan setiap aktiviti berkaitan tenaga atom diurus dengan penuh tanggungjawab.
“Tiada kompromi dalam aspek keselamatan rakyat dan perlindungan alam sekitar,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Menurut beliau, pindaan Akta 304 turut memperkenalkan peruntukan lebih ketat termasuk berkaitan liabiliti awam, jaminan kewangan dan perlindungan pekerja sekiranya berlaku insiden nuklear.
“Melalui rang undang-undang ini, Malaysia akan terus berada pada landasan terbaik untuk melaksanakan kawal selia yang setanding dengan amalan antarabangsa,” katanya lagi.
Menurutnya, RUU tersebut juga memperkukuh kuasa penguatkuasaan Jabatan Tenaga Atom (Atom Malaysia) serta menjenamakan semula Lembaga Perlesenan Tenaga Atom kepada Majlis Penasihat Tenaga Atom.
“Majlis ini akan berperanan memberi pandangan dasar yang berfokus dan strategik bagi memastikan pembangunan tenaga atom negara lebih terarah kepada kepentingan rakyat dan negara,” jelas beliau.
Antara langkah tambahan yang diperkenalkan menerusi pindaan ini katanya, termasuk penubuhan Kumpulan Wang Sisa Radioaktif, penambahbaikan pelan kesediaan menghadapi kecemasan, kawalan eksport dan import bahan berkaitan serta larangan penggunaan tenaga atom bagi tujuan senjata nuklear.
Lih Kang berkata, dengan 70 fasal pindaan, akta ini kini dikenali sebagai Akta Tenaga Atom, mencerminkan skop kawal selia yang lebih luas demi kesejahteraan rakyat, keselamatan alam sekitar dan kepentingan negara.