KUANTAN: Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah, menzahirkan kebimbangan terhadap sebarang aktiviti latihan dan eksesais ketenteraan yang dirancang di kawasan kepulauan negeri itu kerana dikhuatiri boleh menjejaskan ekosistem alam sekitar.
Dalam satu kenyataan pada Ahad, baginda bertitah, aspek pemeliharaan flora dan fauna mesti diberi perhatian serius dalam pelaksanaan aktiviti melibatkan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
“Latihan ketenteraan sememangnya penting bagi meningkatkan kemahiran serta pengalaman pegawai dan anggota tentera.
“Namun ia hendaklah dilaksanakan secara terkawal, bertanggungjawab dan selamat tanpa menjejaskan keharmonian alam sekitar serta kepentingan masyarakat setempat,” titah baginda.
Baginda turut menitahkan supaya pihak ATM bersama semua jabatan dan agensi berkaitan terlebih dahulu menyembah maklum serta mendapatkan perkenan daripada Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sebelum melaksanakan sebarang latihan atau eksesais ketenteraan di negeri Pahang.
“Pihak ATM bersama semua jabatan dan agensi berkaitan hendaklah terlebih dahulu mendapatkan perkenan Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang sebelum melaksanakan sebarang latihan atau eksesais ketenteraan di Negeri Pahang,” titah baginda lagi.
Tengku Hassanal bertitah, semua pihak perlu mematuhi dan menjunjung titah berkenaan demi memastikan kepentingan negeri serta kesejahteraan rakyat sentiasa terpelihara.
Baginda turut memberi amaran bahawa tindakan sewajarnya boleh diambil oleh kerajaan negeri sekiranya berlaku sebarang pelanggaran prosedur.
“Baginda tidak akan teragak-agak meminta kerajaan negeri mengambil tindakan sewajarnya sekiranya terdapat sebarang pelanggaran prosedur yang berlaku,” menurut kenyataan itu.








