⁠⁠Akui fokus dengan kerjaya solo, Ameng nafi abaikan Spring

Vokalis kumpulan Spring, Ameng menyatakan dirinya tidak membelakangkan kumpulan terbabit, tetapi lebih selesa untuk bergerak solo kerana setiap anggota mempunyai fokus terhadap kehidupan masing-masing.

Ameng atau nama sebenarnya Wan Aminuddin Wan Ismail, 55, berkata, sehingga kini Spring masih menerima tawaran daripada pelbagai penganjur untuk membuat persembahan, namun beliau terpaksa menolak.

“Ketika saya menjalani hukuman penjara selama lapan tahun, semua ahli kumpulan Spring sudah mempunyai kehidupan masing-masing.

“Setelah dibebaskan, saya ada cuba untuk mengumpulkan kembali Spring namun mereka sudah mempunyai keutamaan lain jadi saya berhenti untuk melakukan sedemikian.

“Jadi, saya memilih untuk fokus terhadap karier ini secara solo dan Alhamdulillah saya masih menerima banyak tawaran untuk menyanyi di pelbagai acara di seluruh negara,” katanya ketika ditemui Malaysia Bangkit di Sidang Media Konsert Rock Lagenda pada Rabu.

Pada masa sama, Ameng turut memberitahu, setiap anggota memiliki perancangan kerjaya dan aktiviti tersendiri selain menetap di luar kawasan Kuala Lumpur.

“Mereka sudah mempunyai perusahaan sendiri dan memilih untuk menetap di kampung halaman dan tidak mahu berhijrah ke Kuala Lumpur semula termasuk disebabkan faktor kesihatan,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Ameng bakal membuat persembahan bersama lapan penghibur popular tanah air yang akan membuat persembahan sempena Konsert Rock Lagenda, di Mega Star Arena, Kuala Lumpur pada 3 Mac depan.

Baca juga:

https://malaysiabangkit.com/2024/02/01/young-syefura-teruja-david-beckham-bakal-muncul-kuala-lumpur/

Anda Mungkin Berminat