PUTRAJAYA: Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia(SPRM), Tan Sri Azam Baki menegaskan bahawa Albert Tei tidak diiktiraf sebagai pemberi maklumat (whistleblower) kerana dakwaan penglibatannya dalam memudah cara rasuah dalam kes ini.
Bercakap dalam satu sidang media, Azam berkata, meskipun seseorang yang memudah cara jenayah tampil membuat laporan kepada pihak penguatkuasaan undang-undang, mereka tidak boleh dianggap atau diiktiraf sebagai pemberi maklumat yang dilindungi di bawah Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010, disebabkan penglibatan mereka dalam kes tersebut.
Sebelum ini dalam siri pendedahan video yang dirakam secara sembunyi, Albert Tei dilaporkan sedang dalam usaha mendapatkan kembali wang yang disogoknya kepada ahli politik Sabah bagi mendapatkan lesen penerokaan mineral.
Apabila gagal mendapatkan lesen, beliau berusaha ‘menjatuhkan’ ahli-ahli politik yang didakwanya disogok wang dengan pendedahan siri video yang dimilikinya.
Beliau mendakwa membelanjakan RM629,000 setelah diyakinkan bahawa Datuk Seri Shamsul Iskandar Md Akin (bekas Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri) boleh membantu mendapatkan semula wang yang disalurkan kepada ahli-ahli politik dari Sabah itu.
“… dia(Albert Tei) akan didakwa dengan empat pertuduhan di bawah Seksyen 17(a) kerana menawarkan rasuah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur dan satu pertuduhan yang sama di Mahkamah Sesyen Shah Alam pada Jumaat.
“Bagi Sofia Rini Buyong, Azam menjelaskan, wanita berkenaan tidak akan menghadapi pertuduhan di mahkamah kerana dia telah diklasifikasikan semula sebagai saksi SPRM dalam kes ini,” kata beliau.
Katanya, SPRM telah membekukan ratusan ribu ringgit yang dikesan sepanjang siasatan mereka ke atas kes ini dan wang tersebut kini dianggap sebagai bahan bukti.








