Albert Tei, Shamsul Iskandar dituduh di Mahkamah KL esok

Oleh: Tyah Helmi

PETALING JAYA: Ahli perniagaan penuh kontroversi iaitu Albert Tei dan bekas Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin akan didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada Khamis berkait kes rasuah.

Perkara itu dimaklumkan oleh Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki di sidang media pada Rabu.

“Siasatan telah pun lengkap dan dua orang itu akan disiasat di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur di pada Khamis,” katanya.

Azam Baki berkata, Shamsul Iskandar dan Tei bakal dihadapkan empat pertuduhan masing-masing di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

Dalam pada itu katanya, kedua-dua individu tersebut akan dihadapkan dengan satu lagi dakwaan di Mahkamah Sesyen Shah Alam pada Jumaat.

“Dan begitu juga di Mahkamah Seksyen Shah Alam, dituduh pada hari jumaat dimana, masing-masing akan menghadapi satu pertuduhan di bawah seksyen yang sama,” ujarnya.

Difahamkan, Shamsul Iskandar akan dituduh di bawah Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009 memperuntukkan kesalahan menerima rasuah.

Manakala, Tei bakal dituduh di bawah Seksyen 17 (b) Akta SPRM 2009 yang memperuntukkan kesalahan memberi atau menawarkan rasuah.

Selain itu, seorang wanita yang tular dalam sebuah video perbualan bersama ahli perniagaan, Albert Tei iaitu Sofia Rini tidak akan didakwa kerana beliau diklasifikasikan sebagai saksi.

Sebelum ini, media melaporkan Shamsul, yang juga ketua Parti Keadilan Rakyat (PKR) di Cabang Melaka, telah meletak jawatan sebagai setiausaha politik kanan perdana menteri selepas mendakwa ada usaha menggunakan kontroversi untuk menjatuhkan reputasinya dan imej kerajaan.

Tidak lama selepas peletakan jawatannya, Tei dipetik Malaysiakini sebagai berkata, dia membelanjakan RM629,000 untuk kerja ubah suai, perabot dan peralatan untuk hartanah dikaitkan dengan Shamsul, serta barangan peribadi lain.

Tei juga berkongsi tangkap layar perbualan WhatsApp menunjukkan Shamsul didakwa meminta mata wang asing daripada ahli perniagaan itu sebelum ke luar negara.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat