Alexander Nanta Linggi Ganti Ewon Benedick Terajui KUSKOP Mulai 3 Disember

PETALING JAYA: Dalam satu pengumuman rasmi yang dikeluarkan oleh Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar pada Selasa, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi telah diberi mandat untuk menjalankan tugas dan fungsi sebagai Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, berkuat kuasa 3 Disember 2025.

Perkara itu dimaklumkan oleh Perdana Menteri kepada Jemaah Menteri dalam mesyuarat yang berlangsung pada Jumaat, 28 November lalu.

Alexander Nanta, yang kini menyandang jawatan Menteri Kerja Raya, akan memikul tanggungjawab tambahan ini dalam usaha memperkukuh sektor keusahawanan dan koperasi negara.

Shamsul Azri berkata, kerajaan turut merakamkan penghargaan kepada penyandang terdahulu, Datuk Ewon Benedick, atas khidmat bakti beliau sepanjang tempoh memegang jawatan tersebut.

“Kerajaan merakamkan ucapan penghargaan dan terima kasih atas segala sumbangan dan khidmat bakti yang telah diberikan oleh Datuk Ewon Benedick, Ahli Parlimen Penampang sepanjang tempoh beliau memegang jawatan sebagai Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi,” menurut kenyataan itu.

Terdahulu, Ewon Benedick mengumumkan peletakan jawatannya sebagai anggota Kabinet Persekutuan atas dasar prinsip dan pendirian berkaitan pelaksanaan hak 40 peratus hasil Sabah seperti termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan Perlembagaan Persekutuan.

Beliau yang memegang jawatan sebagai Menteri KUSKOP berkata, keputusan itu dibuat selepas meneliti penghakiman bertulis oleh Hakim Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu, Celestina Stuel Galid, berhubung Semakan Kehakiman yang difailkan oleh Sabah Law Society (SLS).

Anda Mungkin Berminat