SELEBRITI tanah air, Alif Satar menarik perhatian ramai apabila berkongsi hasrat untuk memuat naik semula vlog lama pengalamannya berbuka puasa bersama banduan akhir di Penjara Sungai Buloh.
Menerusi hantaran di media sosial, Alif berkata video berkenaan pernah ditarik balik bagi menghormati sensitiviti keluarga mangsa dan pesalah yang sudah dijatuhi hukuman. Namun, katanya, mesej dalam vlog itu wajar ditonton semula, khususnya oleh golongan pelajar sekolah.
“Saya rasa mesej dalam vlog tu penting untuk budak sekolah tengok. Akibat jenayah buli hingga menyebabkan kematian, lapan orang dipenjara dan hilang masa depan,” katanya menerusi hantaran di media sosial.
Menurut Alif, pengalaman berada di dalam penjara itu amat menakutkan walaupun hanya beberapa jam, dan membuka matanya terhadap realiti kehidupan di sebalik tirai besi.
“Seorang banduan kata pada saya, ‘Kat dalam ni, kalau dapat kipas tangan pun saya dah cukup bersyukur.’ Dia menangis masa cakap tu. Saya pun rasa sebak,” ujarnya.
Tambahnya, pihak penjara ketika itu turut meminta agar beberapa bahagian vlog disunting demi menjaga tatacara dan keselamatan, namun mesej utama tentang akibat perbuatan jenayah tetap dikekalkan.
Alif berharap kandungan tersebut dapat memberi kesedaran kepada remaja yang cenderung melakukan kesalahan sosial supaya berfikir sebelum menjejaskan masa depan sendiri.
Video itu sebelum ini dimuat naik di saluran YouTube miliknya dan mendapat sambutan positif daripada penonton yang memuji usaha Alif menyampaikan mesej kemanusiaan dan pencegahan jenayah secara realistik.
Dipercayai, hantaran Alif itu dibuat susulan kes rogol melibatkan pelajar Tingkatan 3 oleh dua pelajar Tingkatan 5 di sebuah sekolah di Melaka baru-baru ini.
Baca juga: