Aliff Aziz enggan ceraikan isteri, mengaku masih sayangkan Bella

Pelakon dan penyanyi, Aliff Aziz, 33, enggan menceraikan isterinya, Bella Astillah, 29, di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, pada Khamis.

Pada prosiding sebutan kedua permohonan cerai difailkan Bella, Aliff memberitahu, dia perlukan masa untuk berfikir dan menyifatkan tempoh sehari belum cukup untuk membuat sebarang keputusan.

“Ini bukan keputusan yang boleh difikirkan dalam masa sehari, saya perlukan masa untuk sediakan keputusan yang besar,” katanya ketika ditemui Malaysia Bangkit.

Sebutan permohonan cerai dibuat di hadapan Hakim Syarie, Wan Mohd Najib Wan Hamat.

Dalam pada itu, peguam syariah mewakili Aliff, Hadi Salleh berkata, anak guamnya tidak bersetuju dengan permohonan cerai difailkan Bella.

“Saya menyatakan pihak defendan tidak bersetuju dengan permohonan yang difailkan pihak plaintif dan diteruskan dengan proses selanjutnya iaitu Jawatankuasa Pendamai (JKP),” ujarnya.

Susulan itu, pasangan selebriti berkenaan diperintahkan hadir bagi proses JKP di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan pada 4 Jun depan berikutan aktor kelahiran Singapura itu tidak bersetuju dengan permohonan cerai difailkan isteri atas alasan masih sayangkan keluarga.

Aliff atau nama sebenarnya Mohamad Aliff Aziz, mendirikan rumah tangga dengan Bella pada 9 September 2016, namun, pernah bercerai pada 16 Mei 2019 sebelum rujuk semula dalam tempoh edah.

Terdahulu, rumah tangga Aliff dan Bella, sekali lagi menjadi topik hangat apabila aktor itu didakwa terbabit dalam kes khalwat bersama pelakon, Ruhanies, 32, di sebuah kondominium mewah di ibu negara pada 8 Mac lalu.

Difahamkan, Bella turut mengakui berlaku curang dengan pelakon baharu Muaz Zabir buat kali pertama pada tahun lalu atas sebab mahu membuatkan suaminya yang ketika itu mempunyai skandal berasa cemburu.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat