Alumni Pengajian Gender UM sedia 10 tuntutan, perangi gangguan seksual

Oleh: Haikal Tajuddin

PETALING JAYA: Alumni Pengajian Gender Universiti Malaya (UM) telah menyediakan 10 tuntutan tegas bagi menjamin keselamatan mahasiswa/i berikutan lambakan kes gangguan seksual di kampus.

Menurut kenyataan pihak alumni, satu daripada lima pelajar pernah mengalami gangguan seksual di kampus, namun hanya 11.1 peratus yang berani tampil.

“Antara tuntutan utama adalah penggantungan tugas segera terhadap anggota fakulti yang dituduh dengan bukti kukuh, penambahbaikan kod Bebas Eksploitasi Penganiayaan dan Gangguan Seksual (KOD).

“Serta penghebahan identiti pesalah laku sebagai mekanisme perlindungan komuniti pelajar,” katanyan

Alumni juga menuntut ketelusan penuh hasil siasatan aduan kes gangguan seksual, penglibatan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dan polis serta penubuhan pejabat hal ehwal gangguan seksual atau ombudsman yang bebas di universiti.

Dalam pada itu, pihaknya turut menuntut latihan tahunan pencegahan gangguan seksual untuk semua staf dan pelajar, penubuhan jawatankuasa pemantau luar, audit bebas berkala, dan penerbitan laporan tahunan mengenai aduan gangguan seksual.

“Kami menyatakan solidariti dengan semua pemandiri gangguan seksual di UM dan menggesa universiti mengambil tindakan segera dan tegas.

“Amatlah mustahak untuk setiap aduan disiasat dengan terperinci dan pesalah laku dipertanggungjawabkan sewajarnya,” ujarnya.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat