PUTRAJAYA: Dasar Automotive Manufacturing 2 (AM-2) yang menggalakkan kerjasama strategik antara industri tempatan dan rakan teknologi antarabangsa dijangka menjadi pemangkin utama kepada pertumbuhan industri motosikal negara.
Langkah itu bukan sahaja memperkukuh pemindahan teknologi, malah membuka lebih banyak peluang pekerjaan serta mengangkat kepakaran kejuruteraan tempatan ke tahap lebih tinggi.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata demikian selepas menerima penyerahan Motosikal Nasional AFAZ Kencana Sport, yang menjadi simbol kejayaan kolaborasi antara pemain industri tempatan dengan rakan teknologi global.
Menurut beliau, kerjasama berimpak tinggi itu mampu menggerakkan rantaian industri bernilai tinggi dalam negara termasuk sektor pembuatan komponen, penyelidikan dan pembangunan (R&D) serta kejuruteraan automotif.
“Kerjasama industri tempatan dan rakan teknologi antarabangsa ini bakal membuka lebih banyak peluang pekerjaan, mengukuhkan kepakaran kejuruteraan tempatan dan menggerakkan rantaian industri bernilai tinggi dalam negara,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Anwar berkata, pelaksanaan dasar AM-2 memberi tumpuan kepada pembangunan industri automotif berasaskan nilai tambah, inovasi dan daya saing global, sekali gus mengurangkan kebergantungan kepada teknologi luar dalam jangka panjang.
“Saya yakin inisiatif ini mencerminkan keupayaan anak tempatan serta komitmen kerajaan dalam membina ekonomi yang lebih kukuh, mampan dan berdaya saing,” katanya.








