Oleh: Aliyaa Azmi
SHAH ALAM: Tradisi baraan yang diamalkan masyarakat Melayu ketika Aidilfitri disahkan selari dengan tuntutan syariat Islam, malah diiktiraf sebagai amalan yang mampu memperkukuh silaturahim sesama umat.
Dalam kenyataan rasmi, Jabatan Mufti Selangor berkata, aktiviti ziarah secara berkumpulan dari rumah ke rumah itu merupakan bentuk amalan yang digalakkan dalam Islam, selagi tidak melanggar batas-batas yang ditetapkan.
“Baraan ini pada asasnya adalah amalan ziarah-menziarahi yang dianjurkan Islam kerana ia mampu menyatukan hati, mengeratkan hubungan serta menyemai kasih sayang dalam kalangan masyarakat,” jelas kenyataan itu pada Rabu.
Tradisi itu bukan sahaja menjadi wadah memperkenalkan ahli keluarga kepada komuniti setempat, malah turut menghidupkan budaya bermaaf-maafan sempena Aidilfitri.
Jabatan Mufti menekankan bahawa Islam meraikan adat dan budaya selagi tidak bercanggah dengan prinsip agama.
“Amalan seperti ini bukan sahaja diharuskan, malah digalakkan kerana ia membawa kepada perpaduan dan keharmonian masyarakat,” menurut kenyataan itu lagi.
Walau bagaimanapun, pelaksanaan baraan perlu disertai dengan niat yang baik serta mematuhi adab termasuk menjaga akhlak, mengelakkan pembaziran dan menghindari perkara yang boleh menimbulkan salah faham terhadap Islam.
“Baraan dilihat sebagai satu tradisi yang wajar diteruskan kerana bukan sahaja mengekalkan warisan budaya, malah selari dengan nilai-nilai murni yang dituntut dalam Islam,” kata kenyataan itu.








