‘Amalan Terbaik Di Sekolah Mampu Jadi Inspirasi Dunia’ – PM

PETALING JAYA: Malaysia sekali lagi mencatat sejarah gemilang di arena pendidikan antarabangsa apabila Sekolah Kebangsaan (SK) Putrajaya Presint 11(1) diumumkan sebagai pemenang Anugerah Sekolah Terbaik Dunia 2025 bagi kategori Menyokong Kehidupan Sihat, anjuran T4 Education.

Pengiktirafan berprestij itu meletakkan SK Putrajaya Presint 11(1) sebaris dengan institusi pendidikan terbaik dunia, hasil komitmen luar biasa warga sekolah dalam membudayakan gaya hidup sihat di kalangan murid dan komuniti.

Kemenangan itu turut mendapat perhatian dan pujian daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang berkata, pencapaian tersebut sebagai bukti kekuatan dasar pendidikan negara.

“Kejayaan ini bukan sahaja mengharumkan nama Malaysia di pentas pendidikan global tetapi juga membuktikan bahawa inovasi dan amalan terbaik di sekolah mampu menjadi inspirasi kepada dunia.

“Tahniah dan syabas kepada warga sekolah, Kementerian Pendidikan serta semua yang terlibat.

“Inilah contoh sebenar semangat Malaysia MADANI dalam mendidik, menginspirasi dan membina masa depan,” ciapnya di X.

Untuk info, Anugerah Sekolah Terbaik Dunia oleh T4 Education merupakan antara pengiktirafan paling berprestij dalam bidang pendidikan dengan penyertaan dari ratusan sekolah di seluruh dunia.

SK Putrajaya Presint 11(1) berjaya menonjol melalui pendekatan inklusif dan berimpak tinggi yang menyentuh aspek kesihatan fizikal, emosi dan sosial pelajar.

Kejayaan itu bukan sahaja menjadi kebanggaan negara tetapi juga membuka ruang kepada sekolah-sekolah lain untuk mencontohi model pendidikan yang menyeluruh dan berteraskan nilai MADANI iaitu mampan, sejahtera dan berdaya tahan.

Anda Mungkin Berminat