PETALING JAYA: Parti Amanah Negara (AMANAH) menyifatkan pendekatan politik berasaskan perkauman yang dibawa Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Akmal Saleh sudah ketinggalan zaman dan tidak memberi manfaat kepada rakyat.
Pengarah Komunikasi parti itu, Khalid Abd Samad berkata tindakan mengapi-apikan isu perkauman hanya mengalih perhatian rakyat daripada agenda pembangunan negara.
“Pendekatan ini tiada faedahnya. Rakyat mahu hidup aman damai dan membina negara bersama, bukan berpecah kerana politik sempit,” katanya dalam kenyataan media pada Isnin.
Menurut Khalid, peristiwa hitam 13 Mei yang berlaku 56 tahun lalu tidak berulang kerana rakyat menolak usaha pihak tertentu yang cuba meniupkan api perkauman.
“Walaupun muncul ‘hero jadian’ seperti Dr Akmal, mereka gagal kerana rakyat mendambakan perpaduan. Sama juga dengan segelintir ahli politik yang bersikap ‘samseng jalanan’, rakyat tidak nampak manfaatnya,” katanya.
Beliau menegaskan peranan kerajaan dan pembangkang seharusnya menyatupadukan rakyat berasaskan rasa hormat, kasih sayang dan kerjasama demi kepentingan negara.
“Jangan hanya kerana mahu populariti diri, negara diheret kepada perbalahan dan sengketa bodoh yang akhirnya merugikan semua pihak,” ujarnya.
AMANAH sebelum ini sering menegaskan pendirian menolak politik berasaskan kaum dan agama sempit. Sejak penubuhannya pada 2015, parti itu konsisten memperjuangkan politik inklusif berteraskan perpaduan nasional.
Baca juga:








