PETALING JAYA: Parti Amanah Negara (AMANAH) mendesak pihak berkuasa menyiasat segera Ahli Parlimen Pengkalan Chepa, Datuk Ahmad Marzuk Shaary susulan kenyataannya yang didakwa menyamakan keadaan Palestin dengan Malaysia.
Setiausaha Agung AMANAH, Muhammad Faiz Fadzil berkata, kenyataan bertajuk ‘Belajar Dari Sejarah Palestin; Jangan Kita Ulangi Kesilapan Yang Sama’ itu disifatkan biadab serta boleh mengundang ketegangan kaum dan agama.
Menurutnya, kenyataan berkenaan berpotensi melanggar undang-undang termasuk Kanun Keseksaan dan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana menyentuh isu 3R yang sensitif.
“Ucapan sedemikian boleh menimbulkan salah faham dalam kalangan umat Islam dan mencetuskan kebencian terhadap bukan Islam, sekali gus menggugat ketenteraman awam,” katanya dalam satu kenyataan.
Faiz menjelaskan, qias politik PAS itu tersasar jauh daripada konteks sebenar konflik Palestin yang melibatkan penjajahan haram Israel terhadap tanah rakyat Palestin sejak 1948, manakala Malaysia dibina atas dasar rundingan tanpa peperangan.
Beliau menegaskan orang Melayu kekal sebagai kaum majoriti dan peneraju utama negara, termasuk institusi tertinggi seperti Perdana Menteri dan Yang di-Pertuan Agong yang sentiasa menjamin hak semua kaum.
Katanya, kenyataan Marzuk juga menghina kemampuan orang Melayu yang kini berjaya dalam pelbagai sektor ekonomi, sambil menyindir sikap ‘double standard’ PAS yang didakwa hanya menggunakan agama untuk kepentingan politik.
“PAS sepatutnya mencontohi ajaran Nabi Muhammad SAW yang menekankan perpaduan dan keamanan antara umat Islam dan bukan Islam, bukan menyalakan api perpecahan,” tegasnya.
Baca juga: