Amanah Kabinet Baharu Demi Kesejahteraan Rakyat – Anwar

PETALING JAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menghadiri Istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan dan Istiadat Mengangkat Sumpah Jawatan dan Setia serta Sumpah Simpan Rahsia di Istana Negara, yang disempurnakan oleh KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim.

Majlis penuh adat itu berlangsung di Singgahsana Kecil pada pagi ini, menyaksikan barisan menteri dan timbalan menteri baharu mengangkat sumpah jawatan selepas rombakan kabinet diumumkan pada Selasa.

Dalam satu hantaran di Facebook selepas istiadat tersebut, Perdana Menteri berkata, pelantikan baharu itu membawa amanah besar yang mesti digalas dengan penuh tanggungjawab demi rakyat dan negara.

“Kini tibalah masanya untuk kesemua yang diamanahkan ini menggalas tanggungjawab dengan penuh integriti, kebijaksanaan dan hikmah, berteraskan amanah yang luhur demi kesejahteraan rakyat serta kemakmuran negara,” katanya.

Rombakan kabinet yang diumumkan pada Selasa menyaksikan beberapa muka baharu serta pertukaran portfolio menteri dengan tujuan memperkukuh pentadbiran kerajaan dan memastikan kelancaran pelaksanaan dasar.

Istiadat pagi ini turut diakhiri dengan sesi bergambar bersama Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, menandakan permulaan rasmi bagi barisan kepimpinan baharu untuk melaksanakan amanah yang diberikan.

Anda Mungkin Berminat