Oleh: Tyah Helmi
PETALING JAYA: Parti Amanah Negara (AMANAH) mengecam sekeras-kerasnya tindakan Israel yang melancarkan operasi ketenteraan secara bertubi-tubi terhadap Iran pada 14 Jun yang lalu.
Menerusi kenyataan media hari ini, Pengarah Komunikasi Amanah, Khalid Samad menyifatkan tindakan itu sebagai agresif dan tidak berasas, yang hanya berpunca daripada kebimbangan Israel terhadap perkembangan teknologi nuklear Iran.
Katanya, Amanah turut menyatakan pendirian tegas menyokong hak Iran untuk membangunkan keupayaan nuklearnya selagi ia berada di bawah pemantauan agensi antarabangsa dan tidak seperti Israel yang menolak sebarang bentuk pemeriksaan terhadap fasiliti nuklearnya sendiri.
“Iran berhak meningkatkan kemampuan nuklearnya, lebih-lebih lagi apabila ianya dilakukan di bawah pemantuan agensi nuklear antarabangsa.
“Tidak seperti Israel, Iran mematuhi peraturan antarabangsa dan membenarkan pemeriksaan terhadap fasaliti nuklear miliknya,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa sikap angkuh Israel yang seolah-olah ingin menjadi penentu kepada hak negara lain dalam membangunkan teknologi pertahanan adalah tidak boleh diterima dan mencerminkan sikap dua darjat.
“Keangkuhan Israel dalam menganggap ianya berhak menentukan dan menghadkan kemampuan nuklear negara lain, sambil Israel sendiri tidak membenarkan pemeriksaan ke atas fasaliti nuklearnya sendiri oleh badan antara bangsa adalah jelas satu keadaan yang tidak boleh diterima,” ujarnya.
Menurut kenyataan itu lagi, sejak penubuhan negara Israel, pelbagai ketidakstabilan dan kemusnahan telah tercetus di rantau Timur Tengah, termasuk di Iraq, Syria dan kini di Gaza yang menyaksikan penderitaan rakyat akibat tindakan ketenteraan Israel yang disifatkan sebagai satu bentuk genosid.
“Gaza sedang dimusnahkan melalui proses genosid yang terang dan nyata.
“Namun pada masa yang sama Israel mendakwa ianya diancam sedangkan ianya yang mengancam.” tegasnya.
Sehubungan itu katanya, Amanah menuntut agar tindakan Israel dihentikan serta-merta dan menggesa negara itu untuk berubah menjadi negara yang membawa keamanan kepada rantau berkenaan.
“Israel perlu belajar cara menjadi sebuah negara yang menganjurkan kedamaian dan membawa kebaikan kepada rantau ini sebelum ianya berhak dihormati.” ujarnya.
Pada masa sama, Amanah turut menyatakan sokongan terhadap hak Iran bagi bertindak balas terhadap serangan yang diterima, dan menghargai sikap Iran yang bersedia menghentikan serangan balas jika Israel turut berbuat demikian.
Amanah turut menyeru kepada kesemua kuasa besar dunia seperti Amerika Syarikat (AS), Britain dan Perancis untuk tidak mencampuri hal konflik tersebut.
”
Dalam pada itu, AMANAH turut menggesa negara-negara Arab untuk menyatakan solidariti terhadap Iran dan rakyat Gaza serta menamatkan sebarang bentuk kerjasama dengan Israel.
“Sekiranya kamu tidak mampu menyokong samada Iran ataupun rakyat Gaza, maka jangan sekali-kali menyebelahi dan membantu Israel,” katanya.
Baca juga: