Oleh: Tyah Helmi
PETALING JAYA:Parti Amanah Negara (AMANAH) mengecam sekeras-kerasnya dakwaan bahawa Malaysia menjadi pusat operasi kumpulan pejuang Hamas, seperti yang didakwa oleh bekas penganalisis kewangan keganasan Jabatan Perbendaharaan Amerika Syarikat (AS), Jonathan Schanzer.
Naib Presiden AMANAH, Datuk Mahfuz Omar menyifatkan tuduhan itu sebagai satu bentuk pakatan fitnah asing yang berniat jahat untuk menggugat kestabilan politik dan kedaulatan negara.
“Fitnah dari luar yang dilakukan oleh Bekas Pegawai Amerika Syarikat Jonothan Schanzer kononnya Malaysia sebagai pusat operasi Hamas adalah tohmahan jahat selepas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan lantang mengecam Israel dan menyeru dunia memutuskan hubungan diplomatik dan perdagangan dengan Israel semasa berucap di sidang kemuncak khas Arab dan Islam di Doha, Qatar,” katanya dalam satu kenyataan kepada Malaysia Bangkit pada Selasa.
Beliau berkata, Malaysia tetap konsisten menentang keganasan, namun tidak akan berganjak daripada prinsip keadilan dan kemanusiaan dalam membela rakyat Palestin.
“Malaysia tegas menentang keganasan namun tetap tidak berganjak daripada prinsip keadilan dan kemanusiaan membela Palestin,” tambahnya.
Beliau turut menyeru rakyat Malaysia agar bijak menilai dan menolak propaganda jahat yang cuba mencemar imej negara.
“Malaysia adalah sebuah negara yang tidak akan tunduk pada fitnah atau percubaan merosakkan kedaulatan negara,” tegasnya.
Dalam kenyataan yang sama, beliau mendoakan kejayaan misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla yang dijadualkan berlayar dalam masa kurang lima hari dengan harapan dapat memecah kepungan Israel dan menyampaikan bantuan makanan serta ubatan kepada penduduk Gaza.
Terdahulu, kontroversi tercetus apabila Jonathan Schanzer, menerusi platform X, mendakwa Malaysia telah lama menjadi tuan rumah kepada anggota Hamas dan menuduh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak berminat dengan perdamaian.
“Negaranya sudah lama menjadi tuan rumah kepada anggota Hamas.
“Beliau langsung tidak berminat dengan perdamaian,” tulisnya.
Difahamkan, kritikan itu muncul susulan ucapan lantang Anwar di Doha yang menegaskan sokongan Malaysia terhadap Palestin serta gesaan agar hubungan diplomatik dan perdagangan dengan Israel diputuskan, ekoran serangan berterusan ke atas Gaza dan rampasan wilayah di Tebing Barat.








