PRK DUN Mahkota: AMANAH lancar jentera sokong calon BN

KLUANG: Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Datuk Seri Mohamad Sabu menyatakan sokongan padu terhadap calon Barisan Nasional (BN) untuk Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota akan datang.

Walaupun beliau mengakui telah berlawan dengan BN selama 37 tahun, Mohamad menekankan pentingnya perpaduan antara parti-parti dalam kerajaan Perpaduan.

Beliau yang juga merupakan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan turut mengimbas kembali kejayaan kerjasama UMNO-BN dan Pakatan Harapan (PH) dalam pilihan raya sebelum ini di Kuala Kubu Bharu.

Kemenangan itu membuktikan bahawa perpaduan politik boleh membawa hasil yang positif.

Untuk PRK DUN Mahkota, Mohamad yakin AMANAH akan memainkan peranan penting dalam membantu BN mencapai kemenangan.

“AMANAH diberi tugas menjaga empat peti undi dan walaupun ada cabaran di kawasan seperti Nenggiri, kejayaan yang kita capai hasil daripada perpaduan ini amat membanggakan,” jelas beliau.

Menurut Mohamad, kerjasama dalam Kerajaan Perpaduan telah terbukti berkesan, dan AMANAH komited untuk memastikan calon BN di Mahkota mendapat sokongan penuh.

Beliau berkata demikian dalam ucapan pelancaran jentera pilihan raya AMANAH untuk PRK DUN Mahkota di sini, menerusi hantaran video di laman TikTok miliknya.

Sebelum ini, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian bagi PRK DUN Mahkota pada 28 September ini, manakala penamaan calon dan pengundian awal pula masing-masing pada 14 dan 24 September.

PRK DUN Mahkota diadakan susulan kematian penyandangnya, Datuk Sharifah Azizah Syed Zain, 64, pada 2 Ogos lalu.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat