Amanah Perdana Menteri, lipat ganda usaha basmi kemiskinan tegar


Oleh: Haikal Tajuddin

PETALING JAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yakin dengan kerjasama pelbagai agensi, miskin tegar mampu dibanteras sepenuhnya.

Beliau berkata demikian ketika berkongsi perjalanan Setiausaha Politiknya, Datuk Ahmad Farhan Fauzi kepada seorang warga emas, Azizah, 79, yang turut tergolong dalam kelompok miskin tegar.

Farhan berkata, sumbangan PM buat komuniti itu antara bantuan yang digiatkan di seluruh negara.

“Puan Azizah adalah seorang yang cukup tabah mengharungi pelbagai cabaran kehidupan, dengan usianya yang sudah lanjut serta keperluan beliau untuk bergantung kepada kerusi roda.

“Mana mungkin termampu untuk seorang ibu tunggal ini keluar daripada kemiskinan tegar tanpa dibantu sesiapa.

“Maka, perkara ini jelas difahami oleh YAB Perdana Menteri, bahawa ada keperluan mendesak untuk kita melipatgandakan usaha kita membasmi kemiskinan tegar.

“Bagi membantu Puan Azizah keluar daripada kemiskinan tegar, saya telah menyampaikan sumbangan daripada Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi mengurangkan beban beliau sekeluarga,” katanya ketika membuat perkongsian di laman X, hari ini.

Beliau mengakui bahawa, usaha itu juga turut digerakkan melalui kerjasama erat yang dihulurkan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Zakat Pulau Pinang bagi memastikan bantuan itu sampai dengan lebih cepat.

“Insya-Allah, dengan bantuan yang tepat, Puan Azizah sekeluarga akan dapat dibantu untuk keluar daripada kelompok kemiskinan tegar.

“Perjalanan untuk membawa diri keluar daripada kemiskinan tegar sudah tentu tidak mudah, tetapi dengan sokongan berterusan, saya yakin Puan Azizah mampu menikmati kehidupan yang lebih baik.

“Saya mendoakan beliau dipermudahkan segala urusan dan dikurniakan aafiyah oleh Allah SWT,” ujarnya.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat