Amanah puji cadangan PM namakan Masjid Salahuddin Al-Ayubi

PETALING JAYA: Parti Amanah Negara (AMANAH) menyambut baik cadangan Perdana Menteri untuk menamakan sebuah masjid yang akan dibina di Rumah Belia MADANI di Mukim Batu, Kuala Lumpur dengan nama Masjid Salahuddin Al-Ayubi.

Setiausaha Agung AMANAH, Muhammad Faiz Fadzil sangat berterima kasih dengan ucapan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mahu mengabadikan nama Datuk Seri Salahuddin Ayub kerana jasa-jasanya.

“Walaupun sudah hampir dua tahun Allahyarham Salahuddin Ayub pergi meninggalkan kita semua, jasa dan legasi yang beliau tinggalkan tidak pernah padam. Sumbangan beliau dalam menurunkan kos sara hidup rakyat termasuk inisiatif di bawah Payung Rahmah akan dikenang sampai bila-bila. 

“Perjuangan Allahyarham Salahuddin Ayub ini menunjukkan bahawa perjuangan Islam yang dibawa dengan konsep Rahmah dapat diterima oleh semua lapisan masyarakat, tidak kira kaum dan agama.

“Agenda ‘mengenyangkan perut rakyat’ sebahagian daripada ajaran Islam tanpa perlu melaungkan slogan retorik memperjuangkan Islam, namun membawa Islam dengan jalur yang keras,” katanya dalam kenyataan media pada Rabu.

Katanya lagi, diharapkan masjid yang dibina dan siap nanti akan dapat diimarahkan dan menjadi tempat untuk menyuburkan agenda kasih sayang dan “Rahmah” kepada masyarakat.

Terdahulu, Allahyarham meninggal dunia pada 23 Julai 2023. Beliau meninggalkan enam cahaya mata hasil perkahwinan dengan isterinya, Datin Seri Fatimah Taha.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat