PETALING JAYA: Parti Amanah Negara (AMANAH) menyambut baik tindakan berani kerajaan Itali dan Sepanyol yang menghantar kapal tentera laut bagi menyokong misi flotilla kemanusiaan ke Gaza, susulan serangan dron yang berlaku baru-baru ini.
Presidennya, Mohamad Sabu menyifatkan langkah itu sebagai bukti bahawa masih ada negara yang sanggup mengambil risiko demi memastikan bantuan sampai kepada rakyat Palestin yang terkepung.
“Itali dan Sepanyol menunjukkan keberanian moral melalui tindakan nyata, bukan sekadar retorik kosong,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Dalam kenyataan sama, Mohamad turut menegur dunia Arab yang menurutnya sepatutnya menjadi benteng utama umat Islam, namun masih terlalu bergantung kepada Amerika Syarikat.
Beliau berkata, harapan kepada kuasa besar seperti itu hanya akan melemahkan perjuangan rakyat Palestin.
“Palestin adalah ujian moral kepada seluruh umat manusia yang berhak hidup aman, mendapat makanan, ubat-ubatan serta bebas daripada kepungan zalim,” katanya.
Tambah beliau, tindakan Itali dan Sepanyol wajar dijadikan inspirasi kepada masyarakat antarabangsa bahawa solidariti terhadap Palestin tidak mengenal sempadan bangsa, agama atau benua.
“Tindakan Itali dan Sepanyol wajar dijadikan inspirasi bahawa solidariti dengan Palestin tidak mengenal sempadan bangsa, agama atau benua,” tegasnya.
AMANAH turut menyeru dunia Islam agar tampil dengan keberanian yang sama dan tidak terus bergantung kepada kuasa besar yang lebih mementingkan kepentingan geopolitik.
Sejak sekatan dikenakan pada tahun 2007, misi bantuan ke Gaza sering diganggu, menjadikan flotilla kemanusiaan sebagai simbol solidariti global dan desakan terhadap tindakan yang lebih tegas.








