Oleh: Tyah Helmi
PETALING JAYA: Parti Amanah Negara (AMANAH) menyambut baik pembentangan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di parlimen kelmarin.
Naib Presidennya, Datuk Mahfuz Omar berkata, RMK13 yang digubal oleh Kerajaan Madani hadir di saat negara sememangnya memerlukan arah baharu yang jelas untuk keluar daripada perangkap ketidaksamarataan, ketirisan dan kebergantungan berlebihan kepada sistem lama yang tidak lagi berkesan.

“RMK13 menampilkan kerangka dasar yang menyeluruh, menyentuh lima teras penting: ekonomi rakyat, kemampanan, transformasi pentadbiran, modal insan, serta pembangunan wilayah dan luar bandar.
“Ini memberi isyarat bahawa Kerajaan Perpaduan memahami realiti semasa rakyat dan cuba menanganinya secara sistematik,” katanya.
Namun katanya, Malaysia perlu sedar sehebat mana rancangan yang dirangka itu, kejayaannya kekal bergantung kepada pelaksanaan.
Justeru kata Mahfuz, RMK13 tidak boleh menjadi sekadar dokumen yang hanya cantik di atas kertas ianya mesti hidup dan bernafas dalam bentuk pelaksanaan yang adil, cekap, telus dan penuh berintegriti.
“Sejarah negara mengajar kita bahawa banyak dasar yang baik akhirnya gagal kerana ketirisan, birokrasi,dan kelemahan pelaksanaan,” ujarnya.
Beliau turut berpandangan, RMK13 telah membuka banyak ruang dan peluang kepada rakyat, khususnya buat golongan B40, M40, anak muda, peladang, penjawat awam atau swasta dan usahawan kecil.

“RMK13 menyediakan pelbagai ruang dan peluang daripada latihan kemahiran (TVET), keusahawanan digital, bantuan bersasar, perumahan, hinggalah peluang pekerjaan dalam ekonomi hijau dan sektor teknologi,” tambahnya.
Kata beliau lagi, rakyat Malaysia seharusnya mengambil inisiatif menyertai program-program pembangunan diri dan ekonomi yang diumumkan, khususnya anak muda, belia desa dan wanita.
“Bersikap proaktif dalam mendapatkan maklumat dan peluang melalui saluran rasmi dan agensi kerajaan.
“Berperanan sebagai mata dan telinga kerajaan dan rakyat boleh menegur dengan berhemah, memuji yang baik, dan melapor jika berlaku salah laku,” katanya.
Ini kerana menurut beliau bukan hanya untuk kerajaan melaksana tetapi ianya memerlukan rakyat sebagai rakan pelaksana.
“Tiada perubahan boleh berlaku tanpa penyertaan aktif rakyat sendiri,” ujarnya.
Baca juga:








