AMANAH Sokong Tribunal Anti Buli

PETALING JAYA: Parti Amanah Negara (AMANAH) menyatakan sokongan penuh terhadap cadangan penubuhan Tribunal Anti Buli yang sedang digerakkan oleh Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU), Jabatan Perdana Menteri.

Menurut AMANAH, tribunal itu bukan sekadar satu mekanisme baharu tetapi satu keperluan mendesak dalam usaha menangani gejala buli yang semakin membimbangkan di Malaysia.

Pengerusi Biro Pendidikan dan Perubahan Masyarakat AMANAH, Azli Yusof, menyifatkan tribunal tersebut sebagai alternatif yang lebih pantas dan mesra kanak-kanak berbanding proses mahkamah yang sering kali panjang dan membebankan mangsa.

“Cadangan ini adalah langkah tuntas bagi menangani isu buli yang semakin serius dalam masyarakat.

“Tribunal ini akan melindungi golongan rentan khususnya kanak-kanak dan pelajar,” katanya dalam satu kenyataan.

Azli turut menjelaskan bahawa buat masa ini, kes-kes buli hanya ditangani melalui Kanun Keseksaan dan beberapa undang-undang lain, namun pendekatan sedia ada masih belum mencukupi untuk memberikan perlindungan menyeluruh kepada mangsa.

Beliau menambah bahawa tribunal yang dicadangkan itu mengambil inspirasi daripada Akta Anti-Gangguan Seksual, dengan pendekatan penyelesaian restoratif yang bukan sekadar menghukum pelaku tetapi juga mendidik mereka agar tidak mengulangi kesalahan.

Beliau berkata, beberapa insiden buli yang berlaku kebelakangan ini menjadi isyarat jelas bahawa gejala tersebut bukan sahaja mencederakan emosi dan fizikal mangsa, malah boleh meragut nyawa.

Justeru katanya, penubuhan tribunal khusus dilihat sebagai langkah segera yang perlu dilaksanakan.

Namun begitu, Azli mengingatkan bahawa penubuhan tribunal sahaja tidak memadai.

Beliau berkata, ia perlu disokong dengan usaha pendidikan, advokasi berterusan dan sokongan psikososial kepada mangsa serta keluarga mereka.

“AMANAH percaya Tribunal Anti Buli akan menyemai budaya madani tanpa buli, selari dengan nilai Rahmatan Lil ‘Alamin.

“Tiada ruang untuk buli dalam masyarakat MADANI,” katanya.

Cadangan penubuhan tribunal ini turut selari dengan usaha kerajaan yang sedang merangka Rang Undang-Undang Tribunal Anti Buli, dijangka dibentangkan di Parlimen pada Oktober ini.

Anda Mungkin Berminat