PETALING JAYA: Parti Amanah Negara (AMANAH) menegaskan komitmennya untuk memberi tumpuan penuh kepada persiapan menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) dan beberapa Pilihan Raya Negeri (PRN) yang dijangka berlangsung dalam masa terdekat khususnya di Melaka, Johor dan Sarawak.
Dalam kenyataan media yang dikeluarkan Setiausaha Agung AMANAH, Muhammad Faiz Fadzil, Jawatankuasa Pimpinan Nasional (JKP Nasional) memutuskan untuk menangguhkan pemilihan parti yang sepatutnya dijadualkan tahun ini.
Menurutnya, penangguhan itu dibuat mengikut Perkara 19.2 (j) Perlembagaan AMANAH, yang memberi kuasa kepada JKP Nasional untuk menangguhkan pemilihan sehingga 18 bulan.
“Pemilihan parti akan diadakan sebaik sahaja urusan PRU dan PRN selesai tanpa menunggu tempoh penuh penangguhan 18 bulan tersebut,” kata kenyataan itu.
Bagi memperkukuh kesiapsiagaan, Faiz berkata, JKP Nasional turut mengarahkan AMANAH di peringkat negeri dan kawasan segera menggerakkan jentera pilihan raya masing-masing.
Katanya, temu rapat pimpinan utama bersama jentera akar umbi akan diadakan mengikut zon, bermula di Melaka dan Johor.
Selain itu beliau berkata, AMANAH menegaskan peranan sebagai komponen Kerajaan Perpaduan dalam memperjuangkan kedudukan orang Melayu melalui polisi sosio-ekonomi yang progresif.
Parti itu bertekad menolak naratif ‘Melayu terpinggir’ dan ‘Islam terancam’ yang dimainkan pembangkang, sebaliknya membawa pendekatan baharu yang lebih rasional dan sederhana.
“AMANAH sebagai salah satu komponen gabungan Kerajaan Perpaduan akan mengambil tanggungjawab memartabatkan kedudukan orang Melayu serta membawa naratif pemikiran baharu yang lebih rasional, progresif dan sederhana,” katanya.








