Malaysia negara berdaulat hasil pengorbanan & perpaduan – Amanah
PETALING JAYA: Rakyat Malaysia seharusnya memperkukuh semangat perpaduan dan pengorbanan demi membangunkan negara yang berdaulat serta progresif, sempena sambutan Hari Kemerdekaan ke-68 hari ini.
Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Mahfuz Omar mengingatkan bahawa
bahawa laungan “Merdeka” 68 tahun lalu bukan hanya simbolik kebebasan daripada penjajahan, namun ianya merupakan manifestasi rakyat dalam membina sebuah negara yang bersatu, adil dan sejahtera.
“Kemerdekaan ini bukan hadiah percuma. Ia dibayar dengan keringat, air mata dan darah para pejuang.
“Tugas kita hari ini ialah mempertahankan kedaulatan negara daripada ancaman luar, perpecahan dalaman, kebencian kaum dan agama, serta politik sempit yang memecahbelahkan rakyat,” katanya di satu kenyataan pada Sabtu.
Menurut Mahfuz, rakyat Malaysia mestilah terus menyemai nilai kasih sayang, rahmah dan saling menghormati antara satu sama lain sebagai tunjang kepada gagasan Malaysia Madani.
Beliau turut menegaskan bahawa dalam dunia yang serba pantas dan mencabar, rakyat perlu sentiasa memperbaiki kehidupan melalui pendidikan, penguasaan teknologi, dan kemahiran baharu agar tidak ketinggalan dalam arus kemajuan global.
“Ilmu adalah kunci kepada kemerdekaan sebenar.
“Justeru, penguasaan teknologi digital, kecerdasan buatan (AI), serta kemahiran abad ke-21 perlu diperkasakan, seiring dengan pembinaan minda dan jiwa yang kukuh,” ujarnya lagi.
Beliau turut menekankan keperluan untuk membanteras rasuah, menolak politik perkauman, serta membina ekonomi yang adil dan inklusif – khususnya untuk golongan muda, petani, pekerja dan usahawan kecil.
Dalam pada itu, Mahfuz memberi jaminan bahawa Parti Amanah Negara bersama kerajaan Madani akan terus komited memperjuangkan prinsip keadilan sosial, kebebasan bersuara dan masa depan yang lebih cerah untuk rakyat.








