PETALING JAYA: Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) pada Rabu mengeluarkan amaran angin kencang dan laut bergelora yang dijangka melanda beberapa kawasan perairan negara bermula Jumaat, 5 Disember hingga Isnin, 8 Disember 2025.
Dalam satu kenyataan, MetMalaysia memaklumkan bahawa angin kencang timur laut berkelajuan antara 40 hingga 50 kilometer sejam dengan ombak setinggi 3.5 meter dijangka berlaku di perairan Johor Timur, Pahang, Terengganu dan Kelantan.
“Keadaan angin kencang dan laut bergelora ini adalah berbahaya kepada bot-bot kecil, rekreasi laut dan sukan laut,” menurut kenyataan itu.
Selain itu katanya, kawasan perkapalan turut dijangka berdepan keadaan lebih ekstrem.
Di perairan timur laut Condore dan barat laut Reef North, angin timur laut melebihi 60 kilometer sejam dengan ombak setinggi lebih 4.5 meter diramal berlaku.
MetMalaysia berkata, keadaan itu berbahaya kepada semua aktiviti pantai dan perkapalan termasuk pekerja di pelantar minyak.
Di kawasan perairan barat laut dan tenggara Condore, timur laut dan barat daya Reef North serta Layang-Layang, angin berkelajuan 50 hingga 60 kilometer sejam dengan ombak setinggi 4.5 meter dijangka melanda.
Situasi itu boleh menjejaskan aktiviti perkapalan, menangkap ikan dan perkhidmatan feri.
Manakala di perairan tenggara Samui, Tioman, barat daya Condore, utara Bunguran, tenggara Reef North, Reef South, Labuan, Palawan dan Sulu, angin timur laut berkelajuan 40 hingga 50 kilometer sejam dengan ombak setinggi 3.5 meter dijangka berlaku, sekali gus menimbulkan risiko kepada bot kecil, aktiviti rekreasi laut dan sukan air.
MetMalaysia menasihatkan orang ramai khususnya nelayan, pengusaha feri dan mereka yang terlibat dalam aktiviti pantai serta perkapalan agar lebih berwaspada sepanjang tempoh amaran ini.
Aktiviti laut digalakkan ditangguhkan bagi mengelakkan sebarang risiko keselamatan.








