KUALA LUMPUR: Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran ribut petir dan hujan lebat di beberapa negeri Semenanjung, Sabah dan Sarawak sempena sambutan Tahun Baru Cina.
Menurut MetMalaysia, pada 17 Februari, ribut petir dan hujan dijangka melanda kebanyakan kawasan di Johor, selain beberapa lokasi di Selangor, W.P. Kuala Lumpur, W.P. Putrajaya, Negeri Sembilan, Melaka, Kedah, Pulau Pinang, Perak, Pahang, Sabah (Kudat, Sandakan & Tawau) serta Sarawak (Kuching, Serian, Sri Aman, Betong, Sarikei, Sibu, Mukah & Kapit).
Kawasan lain dijangka kekal kering.
Pada sebelah petang, ribut petir dan hujan dijangka meliputi Selangor, W.P. Kuala Lumpur, W.P. Putrajaya, Negeri Sembilan, Melaka, Perak, Pahang, Johor serta beberapa kawasan di Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Kelantan, Terengganu, Sabah dan seluruh Sarawak.
Manakala pada waktu malam, ribut petir dan hujan dijangka berlaku di Selangor, W.P. Kuala Lumpur, Negeri Sembilan, Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Perak, Pahang, Johor, Kelantan, Terengganu, Sabah (pedalaman & Sandakan) dan seluruh Sarawak, sementara kawasan lain kekal kering.
Bagi 18 Februari, cuaca dijangka agak kering di kebanyakan kawasan.
Namun, ribut petir dan hujan berasingan akan melanda Pahang, Johor, Sabah (Kudat, Sandakan & Tawau) serta Sarawak (Kapit) pada pagi.
Pada petang dan malam, ribut petir dijangka melibatkan Johor, beberapa negeri Semenanjung, Sabah dan seluruh Sarawak.
Orang ramai dinasihatkan supaya merancang perjalanan dengan baik, memantau perkembangan cuaca terkini dan berhati-hati terutama ketika melakukan aktiviti luar rumah atau perjalanan laut.
MetMalaysia turut mengingatkan bahawa keadaan ini boleh menyebabkan angin kencang serta laut bergelora, sekali gus berisiko kepada bot kecil.








