KUALA LUMPUR: Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) hari ini mengeluarkan amaran ribut tropika Senyar yang dikesan di utara Sumatera, kira-kira 102 kilometer ke barat daya Lumut, Perak.
Ribut itu kini bergerak ke arah timur tenggara memasuki perairan Selat Melaka menuju ke barat Semenanjung dengan kelajuan sekitar 24 kilometer sejam.
Ketua Pengarah MetMalaysia, Dr Mohd Hisham Mohd Anip, berkata keadaan ini berpotensi menyebabkan hujan lebat berterusan, angin kencang serta laut bergelora di negeri-negeri barat dan tengah Semenanjung, bermula hari ini hingga Sabtu.
“MetMalaysia telah mengemas kini Amaran Ribut Tropika, Amaran Hujan Berterusan serta Amaran Angin Kencang dan Laut Bergelora bagi negeri Kedah, Pulau Pinang, Perak, Pahang, Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya, Negeri Sembilan, Melaka serta Johor, berkuat kuasa dari 27 hingga 29 November 2025.” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Amaran hujan berterusan kategori buruk dijangka melibatkan Kedah (Kulim dan Bandar Baharu), Pulau Pinang, Perak, Terengganu, Pahang (Tanah Tinggi Cameron, Lipis, Raub dan Bentong), Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya.
Sementara itu, amaran hujan berterusan kategori waspada dikeluarkan untuk Kelantan, Pahang (Jerantut, Temerloh, Maran, Kuantan, Bera, Pekan dan Rompin), Negeri Sembilan, Melaka, serta Johor (Tangkak dan Segamat).
“Orang ramai dinasihatkan sentiasa berwaspada dan mengikuti maklumat cuaca terkini melalui laman web, aplikasi myCuaca, media sosial rasmi MetMalaysia, dan talian hotline 1-300-22-1638.” katanya.
Beliau menambah pihak MetMalaysia akan terus memantau perkembangan ribut tropika ini dan mengemas kini maklumat berdasarkan keadaan semasa bagi memastikan langkah berjaga-jaga dapat diambil oleh semua pihak.
Baca juga:








