KUALA LUMPUR: Tindakan segelintir individu yang didakwa mengambil tanah dari pusara Allahyarhamah Nurly Shahirah Azman dengan kepercayaan kononnya untuk memperoleh keberkatan mendapat kecaman daripada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar.
Beliau berkata, perbuatan tersebut bukan sahaja menyalahi adab terhadap orang yang telah meninggal dunia, malah bercanggah dengan prinsip akidah Islam yang murni.
“Islam mengajar umatnya agar menjaga adab terhadap orang yang telah meninggal dunia serta menghormati kawasan perkuburan.
“Tanah kubur bukan tempat mencari keberkatan mahupun populariti,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau menjelaskan bahawa menziarahi kubur seharusnya menjadi medan keinsafan dan ruang untuk mendoakan kesejahteraan si mati dan bukan tempat melakukan amalan yang boleh membawa kepada syirik atau khurafat.
“Saya menyeru kepada seluruh umat Islam agar berhati-hati dalam setiap amalan dan tidak terikut-ikut dengan perbuatan yang tiada asas dalam syariat.
“Tindakan mengambil tanah kubur dan menyapunya ke wajah, jika disertai dengan keyakinan bahawa ia membawa keberkatan atau kuasa tertentu, boleh menjurus kepada perbuatan menyanggahi batas-batas syariat,” katanya.
Dr Mohd Na’im turut menyatakan sokongan terhadap pendirian keluarga Allahyarhamah yang bertindak tegas namun berhemah dalam menghadapi isu ini serta memuji langkah pihak berkuasa agama yang memantau kawasan perkuburan secara lebih rapi.
“Ini selari dengan usaha berterusan pihak kerajaan dalam membanteras amalan khurafat dan memperkukuh akidah umat Islam di negara ini,” jelas beliau.
Mengakhiri kenyataan itu, beliau turut mendoakan agar roh Allahyarhamah dicucuri rahmat dan keluarga diberi ketabahan menghadapi ujian.
“Sesungguhnya amalan yang paling dicintai oleh Allah adalah amalan yang paling benar, bukan yang paling popular,” katanya.