Ambil tindakan terhadap golongan pelampau tanpa kompromi – Aaron

Oleh: Tyah Helmi

PETALING JAYA: Polis digesa untuk bertindak tegas terhadap mana-mana pihak yang terlibat dalam beberapa insiden baru-baru ini yang mengganggu keharmonian kaum dan agama di negara ini.

Menteri Perpaduan Negara, DatukAaron Ago Dagang berkata, pihaknya serius tentang tiga kejadian yang menimbulkan kebimbangan dalam kalangan masyarakat.

Antara insiden tersebut ialah kejadian tiga kenderaan milik aktivis masyarakat, Cikgu Chandra yang dibakar oleh pihak tidak bertanggungjawab.

Selain itu, satu video tular di media sosial memaparkan seorang lelaki memijak serta merosakkan simbol suci agama Hindu, Trisul, yang menimbulkan kegusaran dalam kalangan penganut agama berkenaan.

Satu lagi kejadian melibatkan serangan terhadap pendakwah bebas, Zamri Vinoth yang turut mencetuskan kebimbangan berhubung keselamatan individu serta ketenteraman awam.

“Sehubungan itu, saya memohon Polis Diraja Malaysia (PDRM) menjalankan siasatan secara menyeluruh dan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang terlibat, selaras dengan peruntukan undang-undang sedia ada.

“Tindakan terhadap golongan pelampau yang cuba menggugat keamanan negara mesti dilaksanakan tanpa kompromi.

“Sebarang bentuk keganasan, provokasi agama, kebencian atau tindakan melampau yang menyentuh sensitiviti kaum dan agama adalah tidak boleh diterima sama sekali dalam sebuah negara berbilang kaum dan agama seperti Malaysia,” katanya menerusi Facebook pada Selasa.

Dalam pada itu, beliau menyeru orang ramai agar tidak bertindak secara beremosi atau menyebarkan spekulasi, khususnya di media sosial apabila berdepan isu sensitif melibatkan kaum dan agama.

Menurutnya, sebarang perbezaan pandangan perlu ditangani melalui saluran yang betul serta berlandaskan undang-undang.

Aaron turut menegaskan Malaysia dibina atas asas perpaduan, saling menghormati serta kefahaman antara agama dan budaya yang perlu terus dipertahankan oleh semua pihak.

“Kementerian Perpaduan Negara akan terus bekerjasama rapat dengan agensi keselamatan, pemimpin masyarakat serta pertubuhan antara agama bagi memastikan keharmonian, keamanan dan kestabilan negara sentiasa terpelihara,” katanya.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat