SHAH ALAM: Kerajaan Negeri Selangor melancarkan Program Ambulans Kita Selangor (AKS) sebagai inisiatif baharu bagi memperkukuh akses perkhidmatan kesihatan awam, dengan menawarkan perkhidmatan ambulans percuma kepada golongan yang memerlukan.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari, berkata program berkenaan adalah usaha kerajaan negeri memastikan kemudahan kesihatan dapat dinikmati secara saksama oleh seluruh rakyat, selaras dengan prinsip keadilan sosial.
“Ambulans Kita Selangor ialah usaha memastikan khidmat kesihatan dapat dinikmati secara adil oleh seluruh rakyat, tanpa mengira latar belakang.
“Sebanyak 48 ambulans disediakan pada peringkat awal, membabitkan tiga daerah utama iaitu Petaling, Kuala Langat dan Kuala Selangor, merangkumi 26 kawasan DUN di bawah lima Pihak Berkuasa Tempatan (PBT)
“Fasa pertama memberi tumpuan kepada kawasan berkeperluan tinggi agar manfaatnya dapat dirasai secepat mungkin oleh rakyat,” katanya dalam satu hantaran di Facebook pada Jumaat.
Perkhidmatan ini menawarkan kemudahan ambulans percuma sehala atau dua hala kepada keluarga berpendapatan di bawah RM5,000, pesakit terlantar serta mereka yang memerlukan bantuan oksigen sepanjang perjalanan ke fasiliti kesihatan awam.
Permohonan boleh dibuat melalui Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) di daerah terlibat dan koordinasi penugasan ambulans akan diselaraskan bersama St. John Ambulans Malaysia, Negeri Selangor bagi memastikan perkhidmatan berjalan lancar.
“Kerjasama dengan St. John Ambulans Malaysia membolehkan pengurusan perkhidmatan ini dilaksana secara cekap, teratur dan menepati keperluan kecemasan,” katanya.
Amirudin berkata program berkenaan juga dapat membantu Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memperkukuh perkhidmatan kesihatan di peringkat akar umbi.
Baca juga:








