Ameera Hashwi Wanita Hijab Pertama Menang Ratu Cantik Di AS

MICHIGAN: Dunia ratu cantik mencatat sejarah baharu apabila Ameera Hashwi, seorang graduan undang-undang berusia 25 tahun dari Dearborn Heights, Detroit, menjadi wanita berhijab pertama memenangi gelaran Miss Wayne County 2025 di Amerika Syarikat (AS).

Kemenangan bersejarah itu bukan sahaja mengangkat nama Ameera, malah menjadi simbol keterbukaan dan penerimaan terhadap kepelbagaian budaya serta agama dalam pertandingan ratu cantik di negara Barat.

Dearborn Heights, yang terkenal dengan populasi besar masyarakat Arab dan Asia Barat, menyambut kemenangan Ameera dengan penuh rasa bangga dan menyifatkannya sebagai kejayaan bersama komuniti.

“Helo, nama saya Ameera,” katanya sambil tersenyum gembira ketika menerima jambangan bunga dan lencana kemenangan, seperti dikongsikan menerusi Instagram.

Dalam segmen persembahan bakat, Ameera memukau juri dan penonton dengan nyanyian lagu Koul Chi Aam Yekhlass oleh penyanyi legenda Lubnan, Majida El Roumi.

Persembahannya mendapat sorakan gemuruh kerana berjaya menggabungkan bakat seni dengan sentuhan budaya Timur Tengah yang mempesona.

Kejayaan Ameera menerima pujian meluas daripada komuniti Arab-Amerika serta masyarakat pelbagai latar belakang di AS dan luar negara.

Ramai melihatnya sebagai simbol keberanian, keyakinan diri dan pemecah stereotaip bahawa pertandingan ratu cantik hanya terhad kepada penampilan tertentu.

Anda Mungkin Berminat