PETALING JAYA: Angkatan Muda Harapan (AMH) mencabar pembangkang agar berhenti berselindung dan segera membawa usul undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Dewan Rakyat.
Menurut AMH, gabungan sayap pemuda Pakatan Harapan itu menyifatkan dakwaan dan tohmahan pembangkang sebagai sandiwara politik yang tidak disusuli tindakan jelas.
“Jika yakin mahu tukar Perdana Menteri, jangan berdolak-dalik. Bawa usul undi tak percaya di Parlimen. Kalau gagal, hormatilah mandat rakyat,” kata AMH dalam kenyataan bersama.
AMH turut menyatakan sokongan penuh terhadap Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) yang disifatkan sebagai pelan pembangunan berteraskan nilai, reformasi institusi dan agihan.
Katanya, kritikan terhadap dokumen RMK13 yang kononnya terlalu nipis menunjukkan betapa ceteknya pemikiran sesetengah pihak.
“Ini bukan masa untuk politik murahan. Bahaslah kandungan, bukan tebal mana dokumen,” katanya.
Kenyataan bersama itu dikeluarkan oleh lima wakil parti komponen AMH: Ammar Atan (AMANAH), Ho Chi Yang (DAPSY), Fardy Bungga (UPKO), Danish Hairudin (PKR) dan Siti Nur Aishah Mohd Zain (WARDA).
Baca juga: