PETALING JAYA: Angkatan Muda Harapan (AMH) memandang serius krisis pemberhentian pekerja di Petroliam Nasional Bhd (Petronas).
Namun, AMH turut mengakui bahawa syarikat itu perlu membuat keputusan sukar demi menjamin kelangsungan operasinya.
Dalam kenyataan hari ini, AMH berkata, tanggungjawab memastikan kestabilan Petronas harus dipikul secara bersama termasuk oleh Lembaga Pengarah dan pengurusan tertinggi yang diketuai oleh Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Tan Sri Tengku Muhammad Taufik Tengku Aziz.
“AMH menggesa Tengku Muhammad Taufik mengumumkan segera pelan untuk memotong gaji dan bonus tahunan dirinya selaku Ketua Pegawai Eksekutif dan sembilan lagi ahli barisan kepimpinan eksekutif Petronas.
“Malah, elaun Lembaga Pengarah juga harus dinilai semula selaras dengan potensi prestasi kewangan Petronas,” katanya.
Ketua Penerangan AMH, Ammar Atan turut menggesa Petronas agar menimbang semula kesemua tajaan korporatnya.
“Apa keperluan berbelanja jutaan ringgit untuk tajaan tatkala Petronas terpaksa membuang pekerja bawahan untuk mengurangkan kos operasi?” soal beliau.
Katanya, selagi mana isu gaji dan bonus kepimpinan tertinggi belum dijelaskan kepada umum, langkah ‘right-sizing’ atau pengecilan tenaga kerja tidak seharusnya diteruskan.
“Ini bukan soal sama ada kebanyakan pekerja yang akan diberhentikan adalah berstatus kontrak ataupun tidak.
“Ini adalah soal keadilan dan perkongsian tanggungjawab,” katanya.
Selain itu, AMH turut mengingatkan Petros-Kerajaan Sarawak dan Petronas agar menyelesaikan sebarang pertikaian dengan berhati-hati supaya tidak mengakibatkan impak negatif terhadap syarikat.
“Petronas adalah milik semua, termasuk penduduk Sarawak yang merupakan rakyat Malaysia,” katanya.