PETALING JAYA: Susulan tragedi menyayat hati yang mengorbankan 15 mahasiswa dalam kemalangan di Gerik, Angkatan Muda Harapan (AMH) tampil mendesak kerajaan agar segera memperketat prosedur operasi standard (SOP) keselamatan bagi bas ekspres dan kenderaan berat.
Dalam kenyataan medianya, Ketua Penerangan AMH, Ammar Atan memuji tindakan pantas kerajaan menyalurkan bantuan kepada mangsa, namun menegaskan perlunya pendekatan lebih menyeluruh bagi mencegah insiden serupa.
“Tragedi yang meragut 15 nyawa mahasiswa di Gerik baru-baru ini menunjukkan bahawa sistem keselamatan pengangkutan awam, terutama bas ekspres dan kenderaan komersial, memerlukan semakan dan penambahbaikan segera,” tegasnya.
Beliau turut menyarankan agar aspek keselamatan kenderaan komersial disemak semula dengan mencontohi industri berisiko tinggi seperti lori tangki minyak dan bahan kimia yang dilengkapi pemantauan GPS, kamera masa nyata serta penyelenggaraan berkala.
“Jika lori tangki diberi perlindungan tinggi, maka bas yang membawa penumpang juga perlu diberikan perlindungan setara,” ujarnya.
Antara cadangan dikemukakannya termasuk pemasangan sistem brek automatik, kamera pemantau kelajuan serta pembinaan prasarana keselamatan seperti laluan kecemasan di lokasi kritikal.
Ammar yang juga Naib Ketua Pemuda Parti Amanah Negara berkata, usaha menjamin keselamatan penumpang bukan hanya tanggungjawab kerajaan semata-mata tetapi turut melibatkan pengendali bas, pemandu dan masyarakat seluruhnya.
“Malaysia perlu meletakkan keselamatan sebagai keutamaan dalam sistem pengangkutan awam untuk melindungi nyawa rakyat dan mencegah tragedi serupa daripada berulang,” ujarnya.