AMH Sokong Reformasi PTPTN, Sedia Berdialog Bersama Mahasiswa

PETALING JAYA: Angkatan Muda Harapan (AMH) menyatakan kesediaan untuk berjumpa dan mengadakan sesi dialog bersama Liga Mahasiswa bagi membincangkan masa depan sistem pembiayaan pendidikan tinggi negara.

Menurut Ketua Penerangan AMH, Ammar Atan, pihaknya mengambil maklum tuntutan pemansuhan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang dikemukakan
Liga Mahasiswa.

“Sebagai sayap anak muda dalam gabungan kerajaan perpaduan berpandangan bahawa isu pembiayaan pendidikan perlu ditangani secara menyeluruh dan berasaskan prinsip keadilan serta kelestarian negara.

“AMH secara terbuka menjemput Liga Mahasiswa untuk mengadakan dialog berstruktur bagi membincangkan masa depan sistem pembiayaan pendidikan tinggi.

“Ia bukan sekadar ruang untuk mendengar suara mahasiswa, malah sebagai platform memperkukuh hak, kebajikan dan kebebasan akademik mereka,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Ammar berkata, AMH turut menyatakan kesediaan untuk membawa dapatan hasil perbincangan tersebut kepada pimpinan Kerajaan Perpaduan.

Dalam pada itu, Ammar yang juga Naib Ketua Pemuda AMANAH Nasional turut menggesa mahasiswa untuk bersama-sama memperjuangkan pemansuhan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU), yang disifatkan sebagai penghalang kepada kebebasan bersuara dan penglibatan aktif mahasiswa di kampus.

“Pemansuhan AUKU adalah prasyarat penting untuk melahirkan mahasiswa yang berani, progresif dan mampu menyuarakan kebenaran,” tambah Ammar.

Mengakhiri kenyataan, Ammar menegaskan komitmen AMH untuk terus menjadi jambatan antara suara mahasiswa dan proses pembuatan dasar negara, dengan reformasi terhadap PTPTN dan AUKU dilihat sebagai langkah ke arah sistem pendidikan tinggi yang lebih manusiawi, bebas dan bermaruah.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat