Oleh: Hanim Nadia
PETALING JAYA: Naib Presiden PKR, Datuk Seri Amirudin Shari kekal mengetuai Pakatan Harapan (PH) Selangor bagi sesi 2024/2025.
Sementara itu, Ng Sze Han yang merupakan Pengerusi DAP Selangor dilantik sebagai Timbalan Pengerusi 1 dan Pengerusi Parti Amanah Negara (AMANAH) Selangor, Izham Hashim dilantik sebagai Timbalan Pengerusi 2.

Dalam pada itu, Setiausaha PKR Selangor, Dr Mohd Khairuddin Othman pula dilantik sebagai Setiausaha PH Selangor dan lantikan baharu ini dibuat pada Mesyuarat Agung Tahunan 2024.
Ketua Penerangan PH Selangor, Abbas Azmi dalam kenyataan berkata, barisan kepimpinan dilantik merupakan satu barisan lengkap dan bersepadu antara tiga parti komponen PH Selangor.
“Mesyuarat Agung Tahunan PH Selangor yang diadakan petang semalam di Shah Alam, dihadiri 450 perwakilan daripada PKR, DAP dan AMANAH.
“Barisan Ahli Jawatankuasa (AJK) Majlis Pimpinan Negeri PH Selangor bagi sesi 2024/2025, diluluskan secara sebulat suara dalam mesyuarat agung itu,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Selain itu, ujarnya, PH Selangor terus berazam untuk mengekang amalan takfiri serta permainan kaum yang jelas mampu melemahkan pembangunan negeri serta membantutkan perkembangan generasi pelapis ke arah generasi modal insan bijak dan harmoni.
Katanya, dalam masa yang sama, kepimpinan yang ada hari ini akan memperkukuhkan kesepakatan dan kekuatan untuk memastikan PH Selangor sebagai peneraju kerajaan negeri untuk terus menyantuni rakyat Selangor dengan dasar dan inisiatif bermanfaat.
“Seiring penubuhan Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan dan negeri juga, PH Selangor membulatkan tekad untuk memperkasakan kerjasama dengan kepimpinan dan jentera Barisan Nasional bagi meneruskan perjalanan kerajaan dan menghadapi pilihan raya akan datang,” tambahnya.
Baca juga: