Oleh: Tyah Helmi
PETALING JAYA: Sekali lagi nama blogger Papagomo diheret ke balai polis apabila Angkatan Muda Keadilan (AMK) Malaysia tampil membuat laporan polis berhubung dakwaan memfitnah dan menghina Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menerusi siaran kandungan di sebuah akaun Tiktok @akaun933.
Menerusi sidang media pada Jumaat, Ketua Biro Mobilisasi AMK Malaysia, Bariqul Zaman Batharul Zaman berkata, tindakan papagomo atau nama sebenarnya, Wan Muhammad Azri Wan Deris itu dilakukan secara serentak di seluruh negara sebagai solidariti AMK dalam menolak budaya politik fitnah, kebencian dan penghinaan terhadap kepimpinan negara.
Kata beliau, laporan polis dibuat selepas Papagomo didakwa menuduh Perdana Menteri menyekat bantuan kemanusiaan ke Gaza serta menggelar beliau sebagai ‘barua Israel’ dan ‘penghidap HIV’.
“Fitnah ini amat keterlaluan dan berniat jahat.
“Tuduhan bahawa Perdana Menteri menyekat bantuan ke Gaza adalah tidak benar sama sekali kerana beliau telah lama konsisten menyokong perjuangan rakyat Palestin dan menyalurkan bantuan melalui pelbagai saluran rasmi,” katanya.
Beliau turut menyifatkan kenyataan Papagomo adalah cubaan untuk membangkitkan kebencian awam terhadap tatakelola negara serta mencemar imej Perdana Menteri di peringkat antarabangsa.
AMK turut menggesa Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM)untuk mengambil tindakan segera dan tegas terhadap Papagomo di bawah peruntukan undang-undang sedia ada, termasuk Seksyen 500 dan Seksyen 505 Kanun Keseksaan, serta Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Manakala, Timbalan Ketua AMK Selangor, Mohamad Shahrul Adnan pula menyeru kepada seluruh golongan anak muda Malaysia agar tidak terpengaruh dengan politik berunsur fitnah dan kebencian yang dimainkan oleh segelintir pihak.
“Kita mahu politik matang dan berasaskan fakta, bukan politik kotor yang memecahbelahkan masyarakat.
“Anak muda harus menolak politik fitnah dan mendukung usaha Perdana Menteri untuk memulihkan ekonomi negara serta terus membantu rakyat Palestin,” ujarnya.
AMK turut menegaskan bahawa laporan polis itu bukan sekadar simbolik, sebaliknya sebagai tuntutan agar tindakan undang-undang diambil bagi menghentikan penyebaran maklumat palsu yang boleh mengancam ketenteraman awam dan maruah kepimpinan negara.
Baca juga:








