AMK Desak Pahang Batal Projek Ladang Hutan Di Tersang

PETALING JAYA: Angkatan Muda Keadilan (AMK) Parti Keadilan Rakyat menggesa Kerajaan Negeri Pahang agar segera membatalkan projek pembalakan dan pembangunan ladang hutan di Hutan Simpan Tersang, yang didakwa memberi kesan besar kepada alam sekitar dan kehidupan masyarakat orang asal.

Ketua Biro Orang Asal AMK, Leo Arrey Romani, turut menuntut semakan semula terhadap semua kelulusan projek ladang hutan yang telah diberikan sebelum ini.

“Sebarang bentuk pembangunan pada masa hadapan sewajarnya perlu melibatkan perundingan telus bersama komuniti orang asal dan mengutamakan model pembangunan lestari seperti eko-pelancongan dan bukannya penerokaan hutan yang hanya akan merosakkan alam sekitar dan menghapuskan warisan serta cara hidup orang asal,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurut Leo, aktiviti menggantikan hutan asli dengan ladang pokok komersial di kawasan tersebut merupakan bentuk penerokaan yang mengancam ekosistem dan kehidupan masyarakat setempat.

Beliau berkata, kesan projek itu bukan sahaja dirasai oleh tiga kampung suku Semai tetapi juga oleh komuniti lain yang bergantung kepada hutan sebagai sumber kehidupan.

“Impak daripada penerokaan itu akan menjejaskan sumber air utama dan memberi kesan antara satu sama lain kepada penduduk setempat, sehingga membataskan sumber pencarian rezeki masyarakat di kawasan tersebut,” katanya.

Beliau turut mempersoalkan perancangan strategik Kerajaan Negeri Pahang khususnya daripada segi pelaksanaan perundangan kecil yang melibatkan urusan jual beli tanah kepada syarikat luar.

“Isu ini wajar dipersoalkan terutamanya dari aspek pelaksanaan perundangan kecil dalam urusan jual beli tanah kepada syarikat luar yang praktikal supaya pihak terlibat tidak membelakangkan kepentingan pemeliharaan hidupan liar dan kebajikan sosial orang asal,” ujarnya.

Leo berkata, AMK mengecam tindakan segelintir pihak yang didakwa menggunakan alasan penyediaan peluang pekerjaan kepada masyarakat orang asal sebagai justifikasi projek tersebut.

“Kerana hakikatnya, projek sebegini lebih menguntungkan pekerja asing, manakala model ekonomi orang asal yang lestari dan mandiri pula dimusnahkan kerana kebanyakan daripada penduduk orang asal mempunyai kebun sendiri dan kurang berminat untuk bekerja di ladang mega,” katanya.

Katanya, AMK menegaskan komitmen berterusan dalam memperjuangkan hak masyarakat orang asal yang terkesan dengan sebarang bentuk penindasan.

“Sekali lagi mendesak Kerajaan Negeri Pahang agar mengambil langkah penyelesaian serta memberikan keadilan sewajarnya dalam isu ini,” tegasnya.

Anda Mungkin Berminat