AMK Perlis gesa MB letak jawatan, dakwa slogan ‘Bersih dan Stabil’ tidak lagi relevan

Angkatan Muda Keadilan (AMK) Perlis menggesa barisan kepimpinan Perikatan Nasional (PN) Perlis terutama Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli untuk meletakkan jawatan berkuat kuasa serta-merta.

Ia berikutan anak kepada Menteri Besar Perlis antara enam individu yang direman Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membantu siasatan pemalsuan dokumen tuntutan palsu berjumlah RM600,000.

Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Perlis, Azzin Izzad Bahanudin berkata, AMK mengutuk dan mengecam sekeras-kerasnya sebarang salahguna kuasa dan rasuah di negeri itu.

“Utamanya, adakah jumlah tuntutan palsu bernilai RM 600,000 termasuk dengan tuntutan palsu yang dikaitkan dengan Institusi Diraja Perlis?

“Wajar dingat ini merupakan satu-satunya kes seumpamanya sepanjang 181 tahun terbentukya negeri Perlis,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Selain itu, AMK juga mempersoalkan slogan PN yang digunakan ketika kempen Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang lalu iaitu ‘Bersih dan Stabil’.

“Bagaimana boleh dikatakan ‘Bersih dan Stabil’ ketika PN berkuasa di Perlis tidak sampai satu penggal, namun anak kepada pemimpin tertinggi negeri pula ditahan reman SPRM?” soalnya.

Menurut Azzin, beliau menggesa agar barisan kepimpinan PN Perlis terutamanya Menteri Besar Perlis untuk bermuhasabah dan bertanggungjawab terhadap isu berkenaan.

“Adalah merupakan harapan penuh kami di AMK Perlis agar Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dapat menjalankan siasatan dengan penuh komited, jujur dan telus tanpa ada ganggu gugat dari mana-mana pihak,” ujarnya lagi.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat