AMK Johor Sokong Cadangan PRU, PRN Diadakan Serentak

PETALING JAYA: Angkatan Muda Keadilan (AMK) Johor menyatakan sokongan penuh terhadap cadangan agar Pilihan Raya Umum (PRU) dan Pilihan Raya Negeri (PRN) diadakan serentak sebagai langkah yang diyakini mampu menjimatkan ratusan juta ringgit wang rakyat.

Dalam satu kenyataan pada Rabu, Ketua AMK Johor, Faezuddin Puad berkata, ketika negara sedang berdepan cabaran ekonomi akibat krisis tenaga global, perbelanjaan besar untuk mengadakan pilihan raya berasingan seharusnya dielakkan.

“Pada masa sama, pilihan raya serentak juga dapat mengurangkan beban terhadap penjawat awam termasuk petugas keselamatan, guru dan kakitangan kerajaan yang terpaksa bekerja dua atau tiga kali bagi menguruskan proses pilihan raya yang berasingan,” katanya.

Faezuddin turut berkata, parti politik yang menolak cadangan ini perlu tampil memberi penjelasan kepada rakyat.

“Mereka perlu menjelaskan kepada rakyat mengapa mereka sanggup membazirkan ratusan juta wang rakyat semata-mata demi kepentingan dan percaturan politik sendiri ketika rakyat sedang bergelut dengan tekanan kos sara hidup,” katanya.

Tambah beliau, rakyat berhak menilai sendiri sikap pemimpin yang lebih mementingkan percaturan politik berbanding kebajikan rakyat.

Anda Mungkin Berminat