Oleh: Tyah Helmi
PETALING JAYA: Angkatan Muda Keadilan (AMK) menzahirkan rasa kesal dengan keegoaan yang ditonjolkan oleh Ketua Penerangan PAS, Ahmad Fadhli Shaari yang tidak memohon maaf dan membisu terhadap tindakan menghina Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama dua pemimpin Thailand dan Kemboja.
Naib Ketua AMK, Nabil Halimi berkata ia jelas menunjukkan bahawa Ahmad Fadhli adalah pengkhianat negara dan wajar diambil tindakan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM).
“Beliau seharusnya sedar bahawa tindakannya itu bukan sahaja menghina Perdana Menteri Malaysia namun menghina Negara Malaysia bersama kakitangan awam di Wisma Putra yang bertungkus lumus dalam menjayakan misi mendamaikan konflik Kemboja dan Thailand,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Jelas Nabil, usaha Perdana Menteri di saat menjadi fasilitator rundingan damai adalah mewakili Malaysia selaku pengerusi ASEAN buat tahun ini.
Justeru katanya, sebarang perbuatan menghina usaha negara merupakan satu bentuk pengkhianatan yang jelas untuk memalukan Malaysia di mata dunia.
“Saya menyeru seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira fahaman politik agar bersatu menolak dan mendesak Ketua Penerangan PAS agar segera memohon maaf kepada Malaysia, Kemboja dan Thailand atas sikapnya yang jelas tidak menunjukkan semangat patriotisme yang tinggi,” tegasnya.
Pada Selasa, Ahmad Fadhli dilaporkan tidak berhasrat memohon maaf berhubung tindakannya memuat naik satu karikatur yang didakwa menyindir rundingan damai antara Thailand dan Kemboja yang diusahakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Pemimpin PAS itu turut menyerahkan sepenuhnya kepada pihak polis untuk menjalankan siasatan susulan laporan yang telah dibuat oleh pelbagai pihak.
Baca juga: